MAJLIS SUKAN NEGERI

PENGARAH MAJLIS SUKAN NEGERI KEDAH
Syed Khairol Anuar b. Syed Abidin.

Sukan merupakan suatu aspek penting dalam mewujudkan suasana hidup yang harmoni, cergas dan cerdas. Sukan bukan sahaja menjamin kesihatan, malah memupuk semangat kesukanan dan kerjasama di antara ahli pasukan. Selain itu, sukan juga merupakan suatu arena yang mampu meningkatkan imej negara. Justeru itu, kerajaan telah memberi pengiktirafan terhadap kepentingan sukan di dalam mewujudkan satu masyarakat yang mampu memberi saingan di peringkat antarabangsa. Selaras dengan itu, ianya telah mendorong kepada penubuhan Majlis Sukan Negeri.
Majlis Sukan Negeri merupakan satu organisasi sukan utama yang berperanan sebagai tunggak dan nadi penggerak dalam pembangunan sukan berprestij tinggi peringkat negeri. Ia merupakan sebuah organisasi kerajaan yang berperanan utama sebagai perancang menyelaras dan mengawalselia semua aktiviti serta pembangunan sukan di negeri masing-masing. Selaras dengan penubuhan Majlis Sukan Negara, satu usaha kolektif telah di ambil dengan menubuhkan Majlis Sukan Negeri yang mana ia bertujuan untuk meningkatkan dan memajukan sukan di Negeri-Negeri.

Setiap negeri di Malaysia mempunyai Majlis Sukan Negeri yang berada di bawah seliaan Kerajaan Negeri. Matlamat utama penubuhannya ialah untuk bertanggungjawab sepenuhnya ke arah penggalakan, pembangunan dan pencapaian cemerlang dalam sukan-sukan di peringkat tertinggi.
SEJARAH PENUBUHAN MSN (K)Majlis Sukan Negeri Kedah (MSN Kedah) ditubuhkan pada 1 November 1989 di bawah Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971. Perintah Majlis Sukan Negara Malaysia (Pindaan Jadual Kedua) 1988 Akta 29. daripada segi pentadbiran, MSN Kedah terletak di bawah pengawasan pentadbiran Pejabatan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.



FUNGSI

- Menyelaras dan melaksanakan dasar-dasar pembangunan sukan yang diputuskan oleh    Kerajaan Negeri Kedah dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara.

- Menyelaras dan melaksanakan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) dan Jawatankuasa Pengurus MSNK untuk memastikan pembangunan sukan berjalan dengan teratur dan mencapai visi dan misi serta aspirasi kerajaan.

- Menyelaras, membantu dan mengawal selia persatuan-persatuan sukan di peringkat daerah dan negeri.

- Menjadi pusat rujukan berkaitan pembangunan sukan yang melibatkan kepentingan Kerajaan Negeri Kedah.

- Menyelaras program dan aktiviti sukan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

- Mengurus, menyelaras dan memelihara sumber-sumber Negeri (atlet-atlet) untuk tujuan pembangunan sukan Negeri Kedah.

- Menyelaras persiapan kontinjen Negeri dalam Temasya Sukan Malaysia (SUKMA).