BAHAGIAN PERUMAHAN

Bahagian Perumahan adalah sebahagian daripada organisasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Kedah Darul Aman dan di bawah pentadbiran Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)

Bahagian ini memainkan peranan penting dalam pembangunan industri perumahan di Negeri Kedah bagi mencapai kesejahteraan dalam pembangunan politik, ekonomi dan sosial.

Pihak kerajaan sentiasa berusaha agar pembangunan perumahan dapat dimanfaatkan oleh semua golongan rakyat terutama sekali golongan berpendapatan rendah supaya memiliki rumah sendiri dengan kehidupan yang lebih selesa.

Dalam melaksanakan usaha murni ini, Pejabat Setiausaha Kerajaan (Bahagian Perumahan) Negeri Kedah sentiasa memperbaiki sistem penyampaian kepada pelanggan bagi meningkatkan keberkesanan dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan.


FUNGSI

1. Merancang, menyelaras, membangun dan memperuntukkan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada golongan berpendapatan rendah yang tidak memiliki rumah.

2. Memperbaiki sistem pendaftaran permohonan rumah kos rendah di negeri ini bagi memudahkan proses mengenal pasti pemohon-pemohon yang berkelayakan untuk ditawarkan rumah kos rendah.

3. Mentadbir dan menyelenggara perumahan awam kos rendah (PAKR dan PPR) dengan berkesan bagi menjamin kemudahan dan kesempurnaan hidup penghuni.

4. Menyediakan sistem kutipan hasil perumahan iaitu bayaran ansuran sewa beli bulanan bagi rumah sewa beli  (PAKR)  dan sewa bulanan bagi rumah transit (PPR) daripada pelanggan dengan teratur dan berkesan serta menaik taraf sistem ini dari semasa ke semasa mengikut keperluan.


5. Mendidik pelanggan khasnya pembeli-pembeli Rumah Kos Rendah Awam (PAKR) dan penyewa-penyewa rumah transit (PPR) tentang tanggungjawab menghargai kemudahan rumah kos rendah yang ditawarkan oleh kerajaan.


6. Mewujudkan integrasi yang berkesan antara agensi-agensi yang berkaitan dalam menyelaras semua skim perumahan awam di negeri ini dengan lebih teratur.


7. Melaksanakan penguatkuasaan yang berkesan berdasarkan syarat-syarat perjanjian sewa beli skim PAKR dan perjanjian sewa bagi skim transit PPR.


8. Memproses sokongan ke atas permohonan pemaju perumahan swasta dalam perkara berikut:

  • Urusan pengeluaran permit iklan projek perumahan rumah kos rendah.
  • Urusan menyediakan senarai pembeli rumah kos rendah kepada pemaju.
  • Pelepasan kuota melayu dalam projek perumahan dan komersial swasta.