BAHAGIAN KHIDMAT PENGURUSAN DAN KEWANGAN


BAHAGIAN KHIDMAT PENGURUSAN


Bahagian Khidmat Pengurusan merupakan salah satu daripada 10 bahagian yang terdapat di dalam organisasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Merujuk kepada kelulusan Waran Perjawatan bertarikh 13 Januari 2009, Cawangan Am Pentadbiran telah ditukar nama kepada Bahagian Khidmat Pengurusan.

Ia merupakan satu entiti penting di dalam menguruskan hal-hal berkaitan kewangan, Pengurusan Majlis dan Protokol, Pentadbiran dan pengurusan Bangunan dan Aset. Bahagian ini diketuai oleh Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Kanan) Khidmat Pengurusan yang bertanggungjawab terus kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan).

Bahagian ini terbahagi kepada empat seksyen iaitu:
a) Seksyen Kewangan.
b) Seksyen Pengurusan Majlis dan Protokol.
c) Seksyen Pentadbiran Am.
d) Seksyen Pengurusan Bangunan dan Aset.

Pembangunan modal insan menjadi keutamaan Bahagian Khidmat Pengurusan dalam melahirkan warga kerja yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan luas serta memiliki etika kerja yang positif melalui latihan dan pembelajaran berterusan.

BAHAGIAN KEWANGAN

Bahagian Kewangan Kerajaan Negeri Kedah dipertanggungjawabkan untuk menjelaskan pembayaran bagi barangan atau perkhidmatan atau kerja yang dilakukan oleh aktiviti-aktiviti. Sekiranya pengawasan perbelanjaan di peringkat jabatan tidak diberi perhatian, ini akan memberi kesan kepada Bahagian Kewangan apabila perbelanjaan tersebut telah melebihi peruntukan yang diluluskan.

Mengikut Rang Undang-undang Perbekalan Perkara 100 Perlembagaan Persekutuan "Sesuatu undang-undang Perbekalan membenarkan kerajaan membelanjakan wang awam hingga sebanyak yang dinyatakan bagi tiap-tiap maksud yang disenaraikan dalam jadualnya yang bersamaan dengan tajuk Maksud Anggaran Perbelanjaan yang dibentangkan dalam Dewan Badan Perundangan yang berkenaan". Berdasarkan rang undang-undang ini, sememangnya jumlah perbelanjaan terikat kepada peruntukan yang telah diluluskan bagi sesuatu tahun kewangan.

Maka, Pengurusan Sumber Kewangan dan kawalan perbelanjaan yang lebih berkesan perlu dipertingkatkan selaras dengan AP54 yang menyatakan " Seseorang pegawai pengawal adalah dikehendaki mengawal perbelanjaan berkenaan dengan sesuatu perkhidmatan yang diperuntukkan dalam Maksud Perbelanjaan Anggaran Belanjawan di bawah kawalannya supaya peruntukan tidak lebih dibelanjakan".

Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajiban ketua aktiviti yang diberi kuasa oleh pegawai pengawal bagi menentukan bahawa pengawasan yang sepatutnya diadakan dan dijalankan atas perbelanjaan yang dilakukan oleh aktiviti-aktiviti yang dipertanggungjawabkan di bawah kawalannya.

Bagi membantu merealisasikan fungsi kawalan ini, aktiviti-aktiviti perlu bekerjasama, bersikap aktif dan bertanggungjawab menjalankan peranan dalam soal pengurusan kewangan dengan memanfaatkan sistem yang dicadangkan. Penyertaan ini sekaligus turut membantu dalam penyediaan anggaran perbelanjaan jabatan yang lebih realistik untuk tahun berikutnya.

FUNGSI

1. Merupakan jabatan yang terutama dan tunggak dalam Pentadbiran Kerajaan dan Pembangunan Negeri Kedah.

2. Pentadbiran utama dalam urusan yang berkaitan dengan pentadbiran, pengurusan sumber manusia, pengurusan majlis protokol, perumahan, pihak berkuasa tempatan dan majlis sukan.

3. Merancang melaksanakan dan mengawasi semua urusan pentadbiran yang merupakan perkara-perkara dasar dan tertinggi untuk dilaksanakan di peringkat negeri, daerah dan jabatan.

4. Merancang dan mengurus pembangunan sumber manusia terutama perkhidmatan awam negeri.